YUSRI CHE LAH AKHIRNYA DEDAH RAHSIA: “NILAI SAYA BUKAN RM1 TAPI RM30,000”

Kontroversi melanda Akhyar Rashid ekoran isu tebus kontrak antaranya dengan Kedah turut mengheret nama Yusri Che Lah apabila peminat mengimbas kembali tindakan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengenakan bayaran RM1 sahaja sebagai harga perpindahan pemain itu ke kelab MPPJ pada 2006.

Tindakan itu dilihat sengaja dilakukan PFA untuk memalukan Yusri selepas tuntutan mereka sebanyak RM100,000 kepada MPPJ dianggap keterlaluan.

Justeru, ramai penyokong Kedah yang marah dengan tindakan Akhyar meminta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengikut jejak PFA dengan hanya mengenakan hanya RM1 sebagai syarat melepaskan pemain itu daripada kontrak. Malah, ada yang mencadangkan hanya 50 sen.

Begitu pun Yusri buat pertama kali mendedahkan, nilai RM1 yang kononnya dikenakan bukanlah harga sebenar perpindahannya, sebaliknya MPPJ membayar RM30,000 kepada Perlis.

“Saya tidak pernah buka mulut mengenai perkara ini walaupun cerita RM1 sering dibangkitkan semula setiap kali timbul isu perpindahan pemain.

“Walaupun ketika itu saya malu dilabelkan sebagai pemain RM1 namun saya tidak membuat sebarang kenyataan bagi mengelak keadaan terus keruh antara saya dengan Perlis.

“Tapi sekarang biarlah saya dedahkan cerita yang betul kerana isu itu pun sudah menjadi sejarah. Sebenarnya, MPPJ membayar RM30,000 kepada Perlis untuk mendapatkan saya. Jadi, nilai sebenar saya bukanlah RM1 sebagaimana dihebohkan PFA melalui media,” dedah Yusri.

Malah, menurut Yusri, kes beliau sangat berbeza jika dibandingkan dengan Akhyar kerana ketika itu dia sudah tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan Perlis dan sepatutnya boleh memilih untuk bermain dengan mana-mana pasukan tanpa sekatan.

“Tapi, tidak mengapalah, ketika itu saya redho walaupun kecewa dan yakin Allah sudah membalas rasa redho saya itu dengan apa yang saya nikmati sekarang,” kata Yusri yang kini menjadi jurulatih Kuala Lumpur.

Sumber : La BOLA Malaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *