TIADA TIKET VIP BAGI PEMAIN BAHARU PERLIS – DOLLAH SALLEH

Jurulatih Perlis, Dollah Salleh menegaskan penghijrahan beramai-ramai bekas pemain PDRM ke Perlis bukan atas tiket ‘VIP’ sebaliknya tetap diuji menerusi sesi pemilihan.
Skuad Singa Utara musim ini berwajah baru dengan kehadiran pemain dari pasukan berbeza musim lalu.

Tujuh daripadanya bekas pemain PDRM Afif Amiruddin, Arman Fareez Ali, Saiful Amar Sudar, V. Thirumurugan, Fauzi Abd Majid, Alafi Mahmud dan Mohamadou Sumareh.

Kembali bergandingan bersama Dollah, ketujuh-tujuh pemain itu dipilih bukan berdasarkan status anak buahnya sebelum ini.

“Bukan saya yang panggil dan serapkan mereka terus. Mereka datang atas minat sendiri dan saya membuat keputusan.

“Kemudian. saya memberitahu pemain-pemain PDRM itu, sekiranya mereka terpilih mewakili Perlis maka mereka tidak akan diberi tempat kesebelasan utama secara automatik,” kata Dollah.

Dollah bagaimanapun akui kelibat pemain terbabit memudahkannya untuk mencanang segala pendekatan pada sesi latihan awal.

Cuma menjadi kebimbangannya kini aksi persahabatan kompetitif yang belum diharungi anak buahnya menjelang sepak mula Liga Perdana 12 Februari ini.

“Kita belum dapat tentangan yang begitu sengit daripada pihak lawan. Kami mahu lawan pasukan yang benar-benar mencabar supaya pemain-pemain boleh menyesuaikan diri,” tambahnya.

Dibawah bimbingan jurulatih berprofil tinggi, semestinya tumpuan terarah kepada Dollah yang akan berdepan tugas getir ketika membimbing skuad Singa Utara dalam kempen Liga Perdana tahun ini.

Sumber :http://www.stadiumastro.com/arena/Liga-Perdana-Malaysia/berita/artikel.aspx?id=187984&title=Tiada-tiket-VIP-bagi-pemain-baharu-Perlis-Dollah-Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *