Perlis tiada masalah kewangan

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) menafikan dakwaan pasukan Perlis kini sedang menghadapi masalah kewangan yang meruncing sekali gus menjejaskan perancangan mereka mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ahli Majlis PFA, Syed Dziauddin Syed Darus berkata, dana bagi Perlis mengharungi Liga Perdana tahun ini sudah mencukupi.

Malah, katanya, kuota untuk mengisi kekosongan pemain import juga sudah dipenuhi.

“Kami tiada masalah kewangan dan segalanya sedang berjalan lancar sekarang. Berapa jumlah dana tersebut akan kita dedahkan pada 15 Januari ini dalam majlis memperkenalkan pemain dan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau juga yakin pasukan Perlis akan memberikan saingan terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

Sebelum ini, tersebar di laman sosial mengenai dakwaan PFA mempunyai masalah kewangan dan hanya mempunyai dana RM1 juta bagi mengharungi musim baharu liga.

Pasukan yang terkenal dengan panggilan Singa Utara itu pernah menjuarai Liga Super pada 2005 dan memenangi Piala Malaysia pada 2004 dan 2006.

Namun, pada 2010, prestasi Perlis merudum dipercayai akibat masalah kewangan dan kepimpinan. Perlis sekadar menduduki tempat ke-12 daripada 14 pasukan Liga Super, dan akhirnya diturunkan ke Liga Perdana pada musim 2012, setelah menduduki tempat tercorot Liga Super pada 2011.

Perlis terus berada di tangga bawahan Liga Perdana sebelum tersungkur dan bermain di Liga FAM pada 2015.

Bagaimanapun, di bawah kendalian Yusri Che Lah, Perlis berjaya menjuarai Liga FAM Kumpulan A, sekali gus melayakkan mereka bermain di Liga Perdana.-Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *