Perlis sedia majukan bola sepak negeri

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis komited dalam menyediakan pelbagai kemudahan bagi memajukan sukan bola sepak di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Abdul Jamil Saad. Beliau berkata, walaupun sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri untuk maksud itu amat terhad atas faktor sumber kewangan yang juga terhad, bantuan ketara yang mampu diberi ialah dalam bentuk kemudahan sukan.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur dan kepakaran teknikal untuk latihan, manakala persediaan pasukan untuk menyertai pertandingan adalah tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA),” katanya.

Abdul Jamil berkata, kerajaan negeri berusaha menyediakan banyak kemudahan sukan termasuk gimnasium untuk atlet berlatih untuk manfaat pasukan bola sepak Perlis tanpa dikenakan sewa. “Kita juga memberi khidmat nasihat sains sukan yang disediakan menerusi Institut Sukan Negara (ISN) di bawah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs). “Kerajaan negeri juga ada memberi bantuan peruntukan khusus bagi melatih dan membangunkan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya. Peruntukan dalam jumlah yang enggan dinyatakan itu katanya difokuskan kepada elaun jurulatih, pemain, pegawai dan penyertaan ke pertandingan. “Daripada sudut kemantapan persembahan pasukan bola sepak ia sememangnya menjadi tanggungjawab penuh persatuan bola sepak di setiap negeri,” katanya. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113282

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *