Penyokong bantah skuad Singa Utara tarik diri

KANGAR: Hasrat Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menarik diri dari Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana kekangan kewangan ditentang penyokong tegar skuad Singa Utara, yang berjanji membantu persatuan itu. Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) dan Gerakan Belia 4B Perlis menyatakan komitmen untuk berganding bahu bagi mengisi dana yang diperlukan PFA. Dalam sidang akhbar bersama hari ini, mereka meminta PFA membatalkan hasrat itu atas alasan bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan banyak mengharumkan nama Perlis. Syarikat bas, Mara Liner melalui myBAS pula sanggup menyediakan pengangkutan percuma buat kali pertama, manakala beberapa syarikat pula ingin menaja jersi pasukan.

Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman, didakwa tidak sanggup lagi menampung kos pengurusan kerana telah membelanjakan wang sendiri lebih RM10 juta selama tiga tahun menguruskan pasukan serta bersedia melepaskan jawatan jika Perlis tidak mendapat tajaan. Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, pergerakan itu akan menanggung kos, termasuk gaji seorang pemain anak jati Perlis untuk musim 2017. Katanya, sumbangan Rozabil yang sanggup menghabiskan puluhan juta ringgit untuk pasukan Perlis adalah contoh terbaik yang harus dihargai dan wajar beliau dikekalkan sebagai Presiden PFA.

Yang Dipertua MBNPs, Noor Hairi Noor Mohammed, berkata mereka bersetuju menyumbang RM10,000 jika PFA terus kekal dan menyenaraikan minimum lima belia anak jati Perlis. MBNPs telah berbincang dengan 13 badan gabungannya untuk menggerakkan Tabung Singa Utara bagi mengumpul sumbangan belia di Perlis. Pengerusi Gerakan Belia 4B Perlis, Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman, berkata pihaknya akan membantu kempen kutipan dana itu. Bekas pemain era 1990-an hingga 2005 ini berkata, golongan belia di Perlis akan kecewa jika PFA menarik diri dari bertanding dalam Liga Perdana 2017.
Setiausaha Agong PFA, Datuk Sulaiman Shafie, berkata Perlis masih boleh bersaing dalam Liga Malaysia tetapi tanpa pemain import yang dapat mengurangkan beban kewangannya. “Cara ini membolehkan kita membentuk bakat muda dan tidak perlu bayar gaji terlalu tinggi. “Pada musim lalu, gaji pemain tempatan paling tinggi RM6,000 tetapi bagi pemain import, AS$10,000 (RM43,000) masih rendah dan itupun hanya untuk pemain yang tidak cukup baik. “Kalah setiap perlawanan tidak mengapa,” katanya sambil menambah PFA juga berusaha mendapatkan khidmat jurulatih dalam kalangan bekas pemain negeri. Kata Sulaiman, Perlis memerlukan lebih RM10 juta untuk terus kekal dalam liga, termasuk pengambilan pemain import bagi musim baru yang bermula Februari depan. – BERNAMA

 

 

Leave a Reply