Bergelut Cari Penaja?

KUALA LUMPUR – Genap sebulan sebelum Liga Malaysia (Liga M) musim 2016 membuka saingan menerusi Piala Sumbangsih pada 13 Februari depan, masih banyak persatuan bola sepak bergelut untuk mendapatkan penajaan bagi menampung kos perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit semusim.
Keadaan ini menyebabkan mereka cukup terdesak hingga terpaksa ‘memburu’ individu-individu atau hartawan memandang­kan peluang untuk mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat tidak mudah.
Tidak hairanlah apabila Pre­siden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa kelmarin menegaskan, biarpun menerima tajaan mencecah RM20 juta daripada Vida Beauty selama dua musim, ia sebenarnya tidak cukup untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.
Anggaran perbelanjaan ke­seluruhan yang diperlukan bagi mengendalikan sebuah pasukan dalam Liga Super adalah di antara RM14 hingga RM18 juta semusim. Ini adalah kos melibatkan pasukan kelas pertengahan.
Kos tersebut adalah untuk menjalankan kos operasi pasukan termasuk pembayaran penginapan, pengangkutan, peralatan sukan, insentif kejuaraan, cukai serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Gaji pemain mendominasi per­belanjaan sesebuah pasukan, dan berdasarkan temu bual Utusan Malaysia dengan beberapa pasukan kelas pertengahan Liga M mendapati hampir separuh daripada kos keseluruhan terpaksa diagih kepada pembayaran gaji pemain, selain jurulatih serta pegawai.
Sebuah pasukan Liga Perdana kelas pertengahan dianggarkan perlu memperuntukkan RM8 hingga RM10 juta untuk satu musim.
Justeru, setiap kali tiba musim baharu Liga M, persatuan-persa­tuan akan pening kepala mencari penaja, biarpun kancah bola sepak tempatan akhir-akhir ini dilihat semakin menunjukkan petanda positif.
Kos sentiasa meningkat, sedangkan pihak yang sudi menawarkan penajaan atau jumlah penajaan tidak selalunya naik, apatah lagi jika sesebuah pasukan gagal mencatat keputusan baik dalam musim sebelumnya.
Bayangkan gaji maksimum seorang pemain import bagi pasukan pertengahan boleh mencecah AS$30,000 (RM132,000) sebulan. Ia kemudian didarab kepada empat (kuota import). Dalam situasi ringgit jatuh, keadaan ini memang sangat membebankan.
Itu baru import belum melibatkan gaji pemain tempatan dan sudah pasti ia memberi tekanan kepada pengurusan pasukan untuk mencari dana yang mencukupi supaya isu penangguhan pembayaran gaji tidak berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya.
Biarpun mendapat geran daripada Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) sebanyak RM1 juta bagi kelab Liga Super dan RM500,000 (Liga Perdana), namun jumlah tersebut masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan bagi sesebuah pasukan.
Seandainya sesebuah pasukan mempunyai pemain ternama sudah pasti kos operasi bagi satu musim lebih tinggi, namun tidak semua pasukan mampu berbelanja besar kerana ada juga kelab yang hanya memperuntukkan RM2.5 juta semusim.
*Anggaran kos perbelanjaan diambil daripada pasukan berstatus sederhana
*Kos perbelanjaan lebih tinggi untuk pasukan besar seperti JDT dan Selangor
*Setiap pasukan daftar 30 nama
– See more at: http://m.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bergelut-cari-penaja-1.178959#sthash.Wdz1L1yC.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *