Amaran PFAM: Desak pasukan terlibat bayar gaji tertunggak

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendesak beberapa pasukan supaya segera menyelesaikan gaji tertunggak kepada pemain mereka sebelum Liga Malaysia bermula Februari ini.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail yang menjelaskan anggaran gaji tertunggak pemain sudah mencecah RM 4.47 juta.

“Ia melibatkan dua pasukan dalam Liga Super, tiga pasukan dalam Liga Perdana dan dua pasukan dalam Liga FAM.

“Jumlah tunggakan tersebut amat tinggi dan memberikan ketidakadilan kepada pemain yang tidak mendapat hak mereka. Yang menimbulkan kekesalan adalah terdapat pasukan yang mampu membeli pemain lain, tetapi tidak mahu bayar gaji pemain sebelumnya,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, Izham enggan memberitahu pasukan yang terlibat dan akan mendedahkannya pada masa yang sesuai.

Sementara itu, kata Izham, surat yang dihantar kepada pasukan terbabit mendesak melunaskan gaji tertunggak kepada pemain tidak diendahkan.

Beliau berkata, terdapat pasukan yang berjanji akan membayar tunggakan tersebut tetapi janji hanya tinggal janji.

“Kami juga telah hantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan arahan telah dikeluarkan Jawatankuasa Status FAM namun tidak diendahkan pasukan.

“PFAM turut minta untuk berjumpa dengan pasukan terbabit tetapi mereka tidak mahu dan enggan memberi maklum balas kepada surat yang dihantar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *