Bukan Alasan

Kangar: Alasan seperti kurang perlawanan kompetitif dan prestasi tidak menentu sepanjang beberapa siri perlawanan persahabatan yang diharungi bukan masalah besar dalam usaha memantapkan keserasian pasukan Perlis untuk menghadapi Liga Perdana 2016 yang akan bermula pada 12 Februari ini.

Sepanjang tiga perlawanan persahabatan lalu, anak buah jurulatih Dollah Salleh itu hanya menang sekali ketika menentang kelab Divisyen Dua Liga Wilayah Selatan Thailand, Hatyai FC 6-0, seri tanpa jaringan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dan tewas 0-1 kepada Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, perlawanan persahabatan sebelum ini diadakan untuk memberi pendedahan pemain.

“Saya tidak rasa kita bukan tiada langsung perlawanan pramusim. Apa yang saya harap, tiga perlawanan itu memberi pendedahan kepada pemain untuk membentuk pasukan mantap sebelum perlawanan pertama musim Liga Perdana 2016, tidak lama lagi.

“Persiapan perlawanan pramusim kami cuma bermula agak lewat berikutan beberapa pemain import gagal berada pada masa ditetapkan namun berdasarkan prestasi semasa kita percaya mereka akan dapat keserasian sebelum bermula perlawanan pertama menentang Angkatan Tentera Malaysia nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain, penaja dan pelancaran jersi rasmi Singa Utara musim 2016 di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini, kelmarin.

Sementara itu, katanya, tiga pemain utama iaitu penyerang import Mohamadou Sumareh, penjaga gol Azizon Abdul Kadir dan pemain tengah Saddam Hashim mengalami kecederaan sekali gus dijangka terlepas aksi perlawanan menentang ATM.

Menurutnya, perlawanan sulung itu akan berlangsung di STSP atas arahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun sepatutnya diadakan di Stadium Selayang.

“Setakat ini kita mampu memberi jaminan pemain lain yang mengalami kecederaan akan sempat pulih sebelum perlawanan pertama nanti.

“Saya ada menerima aduan daripada pemain mendakwa padang latihan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra agak keras menyebabkan beberapa pemain mengalami kecederaan.

“Namun, kita tiada pilihan kerana kantung kewangan disebabkan belum ada sebarang penajaan, cuma MARA Liner yang sudi menaja sebuah bas sebagai kenderaan pengangkutan untuk pasukan selain Carino yang masih meneruskan penajaan jersi pasukan pada musim ini,” katanya.

– Disiarkan Oleh: http://www.hmetro.com.my/node/113158#sthash.mo8QUGpz.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *