PFA gesa FAM pantau pembabitan dalang utama

January 19, 2012

Info Perlis

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat pembabitan bookie dalam kegiatan mengatur perlawanan membabitkan perlawanan liga di bawah persatuan itu secara menyeluruh.

Shahidan berkata, gesaan itu dibuat berikutan terdapat seorang pemain pasukan Liga Perdana Perlis yang dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual perlawanan membabitkan pasukan itu dengan Majlis Perbandaran Muar FC (MPM FC) pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, selain pemain terbabit, pihaknya turut mengesyaki sebahagian besar pemain Perlis lain turut terlibat dengan rasuah bola sepak berdasarkan maklumat diberikan salah seorang pemain pasukan itu.

“Saya difahamkan sebahagian besar pemain Perlis didakwa menemui seorang bookie di Alor Setar, Kedah sebelum perlawanan pertama menentang MPM FC berlangsung dan kekalahan besar 7-2 kepada pasukan itu menguatkan lagi keyakinan kami.

“FAM perlu pantau pembabitan bookie secara lebih ketat memandangkan tidak mungkin mereka hanya cuba mengatur perlawanan membabitkan beberapa pasukan tertentu sahaja,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya bersedia mengambil tindakan tegas termasuk membuang kesemua pemain yang didapati terlibat menjual perlawanan walaupun terpaksa berhadapan kemungkinan pasukan Perlis ‘ditutup’.

Menurutnya, kegiatan rasuah bola sepak atau mengatur perlawanan perlu dibendung segera FAM sebelum menjadi lebih parah memandangkan ianya mampu memberi kesan besar kepada perkembangan bola sepak negara.

“Pembabitan bookie terhadap pasukan Perlis mungkin disebabkan pemain-pemain muda yang tidak dibayar gaji tinggi terpengaruh dengan nilai wang yang ditawarkan oleh bookie.

“Mengenai jumlah bayaran suapan yang mungkin diterima pemain terlibat, kita masih tidak dapat mengetahui nilainya dan menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

, ,

No comments yet.

Leave a Reply